Monday, November 29, 2010

Gunung Kinabalu.

Gunung Kinabalu






Gunung Kinabalu yang terletak di Sabah, Malaysia  merupakan puncak tertinggi di Malaysia dan puncak tertinggi Pulau Borneo yang ketinggiannya mencecah 4,095 mete dari aras laut. Gunung Kinabalu juga merupakan gunung kelima tertinggi di Asia Tenggara  di belakang Hkakabo Razi di Myanmar (5881 m), Puncak Jaya (4884 meter), Puncak Trikora  (4730 meter) dan Puncak Mandala (4700meter) di Indonesia. Dan Gunung Kinabalu jugalah gunung keempat tertinggi di Kepulauan Melayu.


Dari segi persempadanan geografi, gunung Kinabalu merupakan adalah yang tertinggi di Asia Tenggara. Ini adalah kerana Hkakabo Razi terletak di banjaran Himalaya yang terletak di plat tetonik benua India, sementara Puncak Jaya ,  Puncak Trikora, dan Puncak Mandala  pula terletak dibenua Ocenia. Terdapat beberapa pertikaian mengenai kedudukan ketinggian gunung Kinabalu di Asia Tenggara, bergantung kepada cara pentakrifan ketinggian gunung dan sempadan Asia Tenggara. Puncak Raya (juga dikenali sebagai Piramid Carstenz) telah diakui sebagai puncak tertinggi di "Oceania". Indonesia dari segi politik umumnya dianggap sebahagian daripada Asia Tenggara, tetapi dari segi geologi dianggap sebahagian “Oceania” - disebabkan Indonesia tidak bercantum secara fizikal dengan benua Asia.
Gunung Kinabalu mempunyai kawasan Hutan Dipterokarp Bukit, Hutan Dipterokarp Atas, Hutan Montane dan Hutan Ericaceous atau Hutan Gunung .
Gunung Kinabalu merupakan lambang kemegahan kepada setiap penduduk yang tinggal di Sabah. Sesetengah penduduk menganggap Gunung Kinabalu ini merupakan gunung yang dapat memberikan semangat juang dan satu padu rakyat Sabah. Gunung Kinabalu banyak menyimpan cerita dan kisah-kisah yang misteri. Menurut kepercayaan masyararakat Kadazan di Sabah, Gunung Kinabalu merupakan tempat bersemadinya semangat mereka selepas meninggal dunia.
PEMBENTUKAN 
Gunung Kinabalu terhasil dari pertembungan litosfera Laut China Selatan dan litosfera yang membentuk kepulauan Borneo. Litosfera ialah bahagian paling atas permukaan kerak bumi. Dalam pertembungan itu, litosfera Laut Cina Selatan semakin terbenam ke bawah permukaan bumi memberi tekanan kepada litosfera yang membentuk Kepulauan Borneo. Tekanan itu menolak bongkah Gunung Kinabalu yang terletak di bawah permukaan bumi naik ke atas permukaan bumi. Tolakan itu menyebabkan Gunung Kinabalu semakin meninggi setiap tahun tetapi pada kadar yang amat perlahan (5 mm) dan sukar dilihat dengan mata kasar
Ketinggian asal Gunung Kinabalu dipercayai lebih tinggi iaitu antara lima hingga lapan kilometer (km) dari ketinggian sekarang. Bagaimanapun hakisan yang berlaku selama berjuta-juta tahun, menyebabkan paras Gunung Kinabalu kini hanya tinggal 4,095 meter.




Gunung Kinabalu telah direkodkan mempunyai tujuh puncak tertinggi iaitu:

·         Puncak Low (Low’s Peak) - 4095.2m
·         Puncak St. John (St. John Peak) – 4090.7m
·         Puncak Oyayubi Iwu (Oyayubi’s Peak) – 3975.8m
·         Puncak Kakak Buruk (Ugly Sister Peak)
·         Puncak Raja Edward (King Edward Peak)
·         Puncak Telinga Keldai (Donkeys Ears Peak)
·         Puncak Tunku Abdul Rahman (Tunku Abdul Rahman Peak)




CIRI-CIRI FIZIKAL
Permukaan asal Gunung Kinabalu terdiri daripada batu-batu sedimen yang terdedah kepada hakisan selama lapan hingga 12 juta tahun. Hakisan yang berterusan itu akhirnya mendedahkan batuan pluton yang lebih tegar.
Kesemua puncak tinggi di dunia dilitupi ais tebal pada waktu kuartener atau Zaman Air Batu yang berlaku kurang daripada satu juta tahun lalu termasuklah Gunung Kinabalu yang ketika itu sama paras dengan gunung-gunung di Banjaran Himalaya. Ketika waktu itu puncak Kinabalu diliputi ais dan berlaku pergerakan glasier. Kesan pergerakan glasier boleh dilihat di kawasan Pinusok Gravel iaitu satu tempat yang terletak antara Kundasang  dan Ranau.

LAGENDA   

Seperti mana-mana gunung tinggi diseluruh dunia, Gunung Kinabalu juga tidak terlepas dari cerita-cerita mistik dan lagenda yang unik. Kaum KadazanDusun yang menetap disekitar wilayah Kundasang  dan Ranau di Sabah telah menyifatkan diri mereka sebagai penjaga dan pelindung Gunung Kinabalu untuk sekian lama, mereka mempercayai tanah sekitar, hutan, air dan Gunung Kinabalu itu sendiri merupakan tanah suci yang perlu dipelihara sentiasa, mereka juga mempercayai bahawa roh-roh nenek moyang mereka yang telah mati kini berada dan berehat-rehat di Gunung Kinabalu dan sekitarnya. Awalnya, aktiviti meneroka dan mendaki Gunung Kinabalu adalah suatu perbuatan yang ditegah sama-sekali oleh kaum Kadazandusun, hal ini bagi mengelakkan roh-roh nenek moyang mereka dari menjadi marah dan mungkin akan mengganggu penduduk setempat serta pendaki.
          Namun pada tahun 1851, seorang Gabenor British di Labuan yang bernama Sir Hugh Low telah memulakan ekpedisi perjalanan dakian ke Gunung Kinabalu dengan hasrat untuk berkompromi dengan semua penduduk tempatan untuk mempersembahkan korban bagi menenangkan jiwa roh-roh nenek moyang mereka.
Perkataan "Kinabalu" asalnya merupakan perkataan kaum Kadazandusun yang dicampurkan antara perkataan "Aki' Nabalu", yakni "Aki" membawa maksud nenek moyang, manakala "Nabalu" beerti gunung, "Gunung Nenek Moyang" dalam Bahasa Melayu. Atau secara tepat lagi gunung yang menjadi tempat persemadian roh-roh nenek moyang kaum Kadazandusun.
Menurut lagenda kaum Kadazandusun, dewa tertinggi telah menciptakan dunia dan Gunung Kinabalu, ianya bermula dari mitos naga yang menjaga harta karun mutiara. Kesahan cerita ini dapat anda rasakan ketika anda berada di puncak-puncak tertinggi di Gunung Kinabalu, lebih-lebih lagi ketika anda dalam keadaan sunyi sepi dengan iklim yang lembab, pemandangan awan yang bergerak perlahan dan bunyi tiupan angin yang kuat. Para pendaki adalah dinasihatkan agar sentiasa menjaga tatatertib dengan baik ketika mendaki, Etika pemakaian perlu dijaga, tidak membuat bunyi bising, tidak memanggil-manggil nama orang sesuka hati, tidak marah atau gelak terbahak-bahak.
Mendaki dalam keadaan mabuk dan terhuyung hayang adalah amat dilarang kerana boleh menyebabkan bahaya. Gunung Kinabalu mempunyai struktur batuan yang curam, berlobang dan mudah tergelincir, gunakan tali dakian sepanjang masa bagi mengelakkan anda terjatuh dalam gaung yang banyak terdapat di puncak-puncak Gunung Kinabalu.
Diatas Gunung Kinabalu juga terdapat banyak telaga dan lopak-lopak air semulajadi, kaum Kadazandusun mempercayai disinilah tempat roh-roh nenek moyang mereka mandi-manda, disini juga tempat dimana segelintir dari mereka yang bergelar Bobohizan akan mencuci badan dan mengambil air untuk diminum dengan tujuan untuk membuang sial. Kini kelopak-kelopak air itu dijadikan sebagai kolah harapan (wishing well) untuk para pendaki yang mendaki di Gunung Kinabalu, para pendaki biasanya akan membaling duit syiling kedalam kolah harapan tersebut sebagai suatu cara untuk menghormati roh-roh nenek moyang kaum Kadazandusun supaya tidak mengganggu mereka ketika mendaki dan turun. Namun perkara memuja roh dan membaling syiling ke dalam kelopak air adalah sesuatu perkara yang dilarang dalam Islam kerana perbuatan itu dianggap syirik dan terkutuk di sisi Allah. Namun Islam tetap membenarkan manusia untuk menghormati sesuatu kawasan selagi adatnya masih selari dengan etika Islam.
Para pendaki juga dinasihatkan agar tidak membuang air kecil atau besar kedalam kelopak air kerana perbuatan tersebut tidak elok pada pandangan masyarakat tempatan dan mungkin boleh menyebabkan kemarahan oleh "penghuni halus" yang menetap disana yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar



                              


SUMBER:  Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

No comments:

Post a Comment